Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan puluhan yang lain mengalami kecederaan dalam beberapa serangan bom di seluruh Iraq, kata sumber keselamatan dan pegawai hospital.
Pegawai Polis Iraq berkata pada hari Khamis, empat orang maut apabila bom diledakkan dalam sebuah kafe di Huseiniya, Timur Laut ibu kota Baghdad.
Selain itu serangan bom di daerah Dora, Utara Baghdad telah menyebabkan kematian dua orang dan mencederakan lima penduduk awam.
Tiga orang dilaporkan terbunuh di kota Yusufiya dalam serangan bom di tepi jalan berhampiran sebuah pasar, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Selatan Baghdad.
Pihak tentera melaporkan dua anggota mereka termasuk tiga penduduk awam terbunuh dalam serangan yang disasarkan pada pos pemeriksaan, Timur Laut Baghdad.
Di Madain, Selatan ibukota Iraq, seorang individu tidak dikenali telah melepaskan tembakan rambang kepada orang awam di sebuah jalan. Seorang dilaporkan terbunuh manakala empat yang lain cedera.
Media rasmi Iraq turut mengesahkan kejadian ganas tersebut.
Negara Iraq dilanda serangan ganas sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Statistik rasmi menunjukkan angka kematian sudah melebihi dari 1000 orang terutamanya orang awam manakala hampir 1400 yang lain cedera dalam serangan ganas di seluruh Iraq.
PBB melaporkan hampir 9000 orang terbunuh di negara tersebut sejak 2013.
Kumpulan pengganas berideologi Takfiri, termasuk yang menggelarkan diri mereka sebagai Negara Islam Iraq dan Sham (ISIL) dilaporkan datang ke Iraq dari Syria dan Arab Saudi untuk melancarkan ketegangan.
Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki menuduh Arab Saudi dan Qatar sebagai dalang dalam krisis keamanan dan peningkatan terrorisme dalam negaranya. Beliau pernah mengumumkan bahawa rejim Saudi merupakan penyokong keganasan global. - PRESSTV